PERSATUAN ALUMNI NADWATUSSAADAH SMU(A)AL-SAADAH
BATU MENGKEBANG 18000
KUALA KRAI KELANTAN


http://nadwatussaadah.blogspot.com

Friday, September 24, 2010

WATIKAH AIDILFITRI

Salam Syawal untuk semua warga SMU (a) Al-Saadah Batu Mengkebang. Mungkin sudah agak terlewat untuk mengucapkan selamat hari raya aidil fitri kepada semua. Tetapi memandangkan syawal itu adalah selama sebulan, jadi rasanya masih boleh di ucap lagi.

Aidilfitri adalah hari kemenangan bagi muslim yang telah melaksanakan puasa di bulan Ramadhan dengan hati yang tawadhuk dan khusyuk kepada Allah. Jika di bulan Ramadhan kita sibuk beribadah kerana yakin dengan gandaan pahala yang di janjikan Allah. Saat inilah kemuncak ibadah kerana masing-masing merasa lebih tenang tanpa campur tangan iblis dalam urusan harian. Namun ada yang masih kalah dengan nafsu. Iblis di belenggu, nafsu pula yang akan menunggangi diri. Nauzubillah, sebaiknya nafsu itu di kawal jangan biar ia menjadi maharaja agung di dalam diri.

Jika di bulan Ramadhan kita begitu bersungguh-sungguh meningkatkan ibadah kepada Allah, namun adakah berakhirnya Ramadhan menandakan ibadah kita semakin berkurang. Adakah dengan berakhirnya Ramadhan, kita tidak lagi merasa khusyuk dengan peribadatan kepada Tuhan? Jika sebulan yang lalu, kita Qiyam hampir setiap malam, bersedekah harta dan wang, membaca Al-Qur'an satu juzuk sehari, melakukan solat-solat sunat dan sentiasa membasahi lidah dengan zikrullah maka adakah pada hari ini, setelah Ramadhan berlalu, semua itu sudah tidak menjadi rutin yang di lakukan dengan bersungguh-sungguh? Tepuk dada tanya iman.

Jangan pula kita salah memahami konsep ibadah sehingga menjadi hamba Ramadhan, bukan Hamba Tuhan. Kita adalah hamba Tuhan bukan sahaja di bulan Ramadhan, bahkan di setiap bulan-bulan yang lain. Ramadhan adalah bulan istimewa yang merupakan platform untuk manusia mendekatkan diri kepada Allah dan meningkatkan ibadah. Jadi di sini ana ingin menekankan kepada semua, bahawa jadilah juga hamba Allah yang bersungguh-sungguh di dalam pelaksanaan ibadah walaupun bukan lagi di bulan Ramadhan. Biarlah kita meneruskan disiplin di bulan Ramadhan ke bulan Syawal, Zulqaedah, Zulhijjah dan bulan-bulan seterusnya.

Sekadar sebuah peringatan untuk ana sendiri dan juga untuk sahabat-sahabat. Sekali lagi selaku admin blog, ana mengucapkan selamat hari raya ,maaf zahir dan batin. Salam Syawal yang mulia. Maafkan juga salah silap ana dan semua tulisan-tulisan ana di blog ini serta semua komen-komen ana di ruangan 'sembang-sembang' blog. Juga ana meminta maaf jika tidak banyak menyumbang kepada Alumni dan warga SMU (A) Al-Saadah kerana ketidakmampuan ana. Ana doakan semua di rahmati Allah, wallahua'llam.